Tuesday, October 27, 2009

Bagaimana Nahi Munkar

Kita Ingin Perubahan Hakiki

Menegur itu mudah. Melenting dan menzahirkan kemarahan juga masih mudah. Apa yang sukar adalah melakukan perubahan yang hakiki. Kalimah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang biasa dibaca oleh kita adalah ‘taghyir’ yang membawa maksud perubahan. Kalimah itu mengisyaratkan objektif sebenar dari usaha nahi mungkar.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang melihat kemungkaran dari kalangan kamu, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.”

Kemungkinan berlaku sedikit salah faham di sini apabila kita membaca kisah penangkap ikan di hari Sabtu sebagaimana yang Allah ceritakan kepada kita di dalam firmanNya:

“dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa.” (Al-A’raf: 164)



Sememangnya nahi mungkar itu mempunyai dua matlamat;

Pertama untuk melepaskan diri kita dari dipertanggungjawabkan oleh Allah terhadap kesalahan orang yang melakukan kemungkaran.

Kedua agar orang yang melakukan kemungkaran itu kembali bertakwa.

Memang benar juga jika ada yang berkata bahawa yang paling penting adalah matlamat pertama dan bukannya kedua. Malangnya kefahaman yang betul ini membawa kepada kefahaman yang tidak betul apabila sebahagian dari pendakwah tidak kisah jika kemungkaran terus berlaku asalkan dia pernah menegurnya. Mereka juga mungkin tidak kisah dan mungkin tidak pernah berfikir tentang wasilah terbaik untuk melakukan nahi mungkar tersebut. Asalkan dia sudah menegurnya, maka mereka rasakan mereka tidak akan dipertanggungjawabkan dan tugas sudah selesai.

Qul kalimah wa tamsyi’ ….. Itu Sahaja?

‘Qul kalimah wa tamsyi’ adalah satu sindiran sebahagian tokoh Ikhwan di Mesir terhadap sebahagian pendakwah yang memandang amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu proses yang mudah. Kalimah ini bermaksud ‘ucapkan apa juga kalimah, kemudian pergi dari situ’. Ucapkan apa juga kalimah kepada pelaku maksiat kemudian tinggalkan dia kerana tugas anda sudah selesai. Anda tidak akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. Dia akan berubah atau tidak itu bukan lagi tanggungjawab anda kerana anda sudah menyampaikannya. Adakah sebegini mudah?

Allah berfirman: “Oleh itu berilah peringatan, jika peringatan itu berguna.” (Al-A’la: 9)

Ayat di atas saya terjemahkan berdasarkan tafsiran Dr. Abdul Karim Zaidan terhadap ayat tersebut. Ia diterjemahkan sebagai ‘oleh itu berilah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat’ oleh terjemahan yang biasa kita baca di Malaysia.

Dr. Abdul Karim Zaidan mengaitkan peringatan dengan hasil dan berpendapat bahawa jika peringatan itu diyakini akan memberi manfaat, memberi peringatan tersebut adalah wajib. Jika diyakini tidak memberikan manfaat, terpulang kepadanya untuk memberikan peringatan atau tidak. Ini menunjukkan antara lain perlunya seseorang berfikir wasilah, kaedah, pendekatan dan uslub yang paling mampu merubah sebelum teguran tersebut diberikan.

Pandangan yang mengatakan bahawa teguran dalam apa juga bentuknya akan menghilangkan pertanggungjawapan kita terhadap kemungkaran tersebut adalah pandangan yang dhaif. Pandangan ini lahir dari sikap mengambil mudah, tidak serius dan tidak bersungguh di dalam dakwah. Golongan ini juga didapati tidak bersedia untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dakwah selari dengan tuntutan amar makruf nahi mungkar yang semakin mencabar di zaman ini.

* dipetik dari artikel nukilan Ustaz Fauzi Asmuni

No comments:

Post a Comment



Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..

hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu

Bertemu untuk mematuhi perintah Mu

Bersatu memikul beban dakwah Mu

Hati-hati ini telah mengikat janji setia..

untuk mendaulat dan menyokong syariatMu


Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini

Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..

akan jalannya yang sebenar

Penuhkanlah piala hati ini..

dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu

Hidup suburkanlah hati-hati ini..

dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu


Jika Engkau mentakdirkan mati

Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..

sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu


Engkau lah sebaik-baik sandaran..

dan sebaik-baik penolong ya Allah

Perkenankanlah permintaan ini

Amin ya rabbal A'alamin..