Ke Mana Tujuannya
Dalam melaksanakan sesuatu kerja, tujuan kita boleh jadi bermacam-macam. Tujuan itu boleh jadi baik dan boleh jadi sebaliknya. Tapi semuanya bergantung kepada kita. Kita yang menentukan tujuan kita. Kita yang memasang niat. Tujuan kita bukan bergantung kepada bagaimana orang lain menganggap, meneka atau menyangka.
Kita pasti ingat dan pernah dengar kisah Ayah, Anak dan Keldai.
'Seorang lelaki telah bercadang untuk ke pasar kerana ingin menjual seekor keldai miliknya. Dia membawa bersama seorang anak lelakinya. Mereka berdua berjalan beriringan sambil menarik keldai tersebut. Mereka tidak menaiki keldai tersebut kerana berharap keldai tersebut tidak kelihatan keletihan apabila hendak dijual kelak.
Apabila tiba di suatu pekan, kedengaran suara-suara perlian dari satu kumpulan manusia.
"Mengapalah mereka begitu bijak, ada keldai tetapi tidak dinaiki..." kata salah seorang sebelum disambut dengan ketawa besar oleh yang lainnya.

Jadi, si ayah menyuruh anaknya menaiki keldai tersebut. Namun, apabila mereka melintasi satu kumpulan manusia yang lain, tiba-tiba anaknya dimarahi kerana dianggap biadap dan kurang ajar. Kurang ajar kerana membiarkan ayahnya yang tua berjalan sedang dia dengan selesa menaiki keldai.
Maka, ayahnya meminta anaknya turun dan dia yang menaiki keldai tersebut. Tetapi tidak lama kemudian, si ayah mendengar cemuhan lain. Dia dikatakan tidak berperi kemanusiaan apabila membiarkan anaknya yang kecil itu berjalan kaki sedangkan dia menaiki keldai.
Lihatlah, betapa susahnya apabila kita bergantung kepada pandangan orang lain. Sedangkan pada awalnya mereka merancang untuk tidak meletihkan keldai kerana hendak menjualnya, tetapi akhirnya mereka keduanya menunggang keldai tersebut.
Pun begitu, masih ada suara yang menyanggah perbuatan mereka yang dikatakan tidak merasa kasihan kepada binatang. Mereka akhirnya kembali kepada keadaan asal dan meneruskan perjalanan sehingga ke pasar.'
Apabila kita membuat sesuatu, dengan tujuan tertentu, belum tentu orang akan melihatnya seperti mana kita melihatnya. Orang mungkin nampak tujuan yang berbeza walaupun kita melakukan kerja yang sama. Maka, yang penting buat kita ialah memastikan tujuan dan niat kita berada pada landasan yang betul, yang diredhai Allah SWT dan memastikan cara kita melakukannya juga mengikut jalan yang sepatutnya. Kita kena ingat bahawa 'matlamat tidak menghalalkan cara'.
* terima kasih kepada semua yang hadir pada Open House Beyt 87 30 syawal lalu. maaf atas segala kelemahan, kelewatan dan kekurangan. moga majlis tersebut mengeratkan lagi hubungan antara kita...
No comments:
Post a Comment