Tuesday, September 15, 2009

DEDIKASI SEORANG SAHABAT

Assalamualaikum wbt...

Setelah sekian lama aku menyepi, akhirnya aku kini sudah kembali dengan post yang ke-6. Kali ni aku nak post satu dedikasi seorang teman sepanjang penyepian aku dari dunia blog. Dan sepatutnya dedikasi ini menjadi post pertama aku untuk blog baru ini. Tapi, baru hari ni aku menjumpainya. Terima kasih kepada penulis. Sesungguhnya 'panglima' begitu terharu dengan dedikasi tersebut.

[sepatutnya panglimaIslam, bukan panglima Terulung...]

DEDIKASI

(Bukan penulisan Panglima Terulung, sebaliknya dedikasi oleh Penulis)

Saya kasihankan Panglima Terulung .

Banyak keinginan yang telah lama dirancang terutamanya semenjak Eidulfitri (baca:selepas pengumuman keputusan peperiksaan akhir) tergendala.

Beban amanah yang diberikan dek kerana anggapan bahawa Panglima mempunyai waktu senggang dan lapang kelihatan seperti terlepas mulut buaya, masuk pula mulut harimau.

Tetapi apakan daya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Saya masih seorang yang beriman dengan Tuhannya, jadi saya masih berpegang teguh dengan kalam qadim-Nya;

لا يكلف الله نفسا الا وسعها

“Allah tidak mengtaklifkan hamba-Nya kecuali dengan kemampuannya,”


TERLEPAS MULUT BUAYA, MASUK PULA MULUT HARIMAU

Sengaja saya memilih peribahasa di atas.

Tahun-tahun yang dilalui Panglima sebelum ini melibatkan pengajian yang bukan sedikit, bahkan sukar dan menuntut pula mujahadah yang bukan kecil. Namun, ketibaan tahun pengajian yang baru ini memberi sedikit kelegaan kepada Panglima, kerana segala strategi dan perancangan yang telah digunakan hanya perlu diperbaiki mana yang lemah mana yang kurang.


Tidak memerlukan sebarang rombakan besar-besaran dalam taktik ‘peperangan’ yang hendak digunakan.

Ini pendapat saya, dan saya fikir ini juga apa yang difikirkan oleh Panglima semasa menyambut Eidulfitri yang lalu.

Walau bagaimanapun, terlepas daripada ‘sang buaya’ rupa-rupanya bukan satu tiket untuk berasa selamat.

Melepaskan diri daripada sungai atau paya yang melemaskan, tidak menjamin daratan bukan suatu tempat yang melelahkan.

Saya berkemungkinan tidak menyamakan bahawa bebanan tanggungjawab yang diberikan kepada Panglima terutamanya selepas pembubaran sidang perwakilan salah sebuah persatuan pelajar tempatan merupakan mulut-mulut harimau bergigi taring tajam yang bersiap sedia untuk mengunyah jasad.

Tetapi SITUASI yang dilalui meletakkan Panglima sekali lagi dalam kepayahan untuk melepaskan diri. KEADAANNYA sama seperti dalam BERADA dalam mulut harimau. Ditelan mati, terlepas parah.

Saya masih pasti, walau bagaimana sekalipun ombak menggulung yang datang, atau walau sekencang manapun taufan yang bertiup, Panglima tetap berdiri tegap tak basah dek hujan, tak lekang dek panas.

Tentu sekali banyak perancangan persedirian yang nun jauh di sudut hati untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini terpaksa dikorbankan dek kerana tanggungjawab ini.

BAND OF UKHWAH

Namun kelihatan, sekurang-kurangnya, salah satu perancangan itu dapat dilaksanakan. Saya beruntung kerana saya terlibat secara langsung dengan rencana tersebut.

Syukur kerana dengan idea bijak Panglima mengatur strategi, sekurang-kurangnya banyak perkara baru yang saya terokai. Mana urusan risikannya, mana urusan pejabat agamanya, mana urusan hantarannya, mana maharnya, mana bunga manggarnya etc. etc.

Perencanaan Panglima tersebut merupakan perkara yang sentiasa saya tunggu-tunggu. Apa yang dipanggil ‘ukhwah’ itu terasa manis benar tanpa ada jurang umur, kerana KITA mempunyai FIKRAH yang sama, dan lebih penting lagi hati-hati KITA dihubungkan bukan secara profesional, mahupun habuan keuntungan dunia atau chemistry(???) tetapi kerana محبتك, IMAN.

Sebenarnya, apa yang saya lalui sebelum-sebelum ini merupakan satu penyisihan diri daripada lipatan sosial masyarakat sekeliling, terutamanya selepas that thing. Penyisihan diri ini merupakan sesuatu yang disengajakan, bermula sejak menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi sehinggalah ke tahun awal ketibaan di Mesir.

Ceritanya, saya dapati Panglima mempunyai koleksi yang sangat saya sukai. Daripada situ barulah saya ketahui yang Panglima juga turut mempunyai minat yang sama. Sebetulnya, saya tidak pernah ambil peduli tentang manusia ini sebelum itu kerana dasar penyisihan yang saya amalkan. Namun, bertitik tolak daripada perkongsian koleksi tersebut serta jemputan makan malam yang saya terima daripada Panglima memperkenalkan saya dengan satu dimensi baru selepas empat dimensi dunia yang lain. Dimensi UKHWAH.

Dimensi ukhwah tidak terbatas secara simetri. Dimensi ini luas dan infinit. Tiada penyebut yang boleh disebut dengan pengangka. Matematiknya, ukuran dimensi ini bakal menghasilkan irrational number.

Saya menerokai dimensi ini lebih luas, dengan kemudi Panglima.

Dimensi ini bagi saya berpusat. Bukan assobiyyah, dalam pengertian umum, tetapi BERPUSAT. Dengan pusat dimensi ini saya kumpul kekuatan. Dalam pusat ini saya bersama-sama merencanai, melaksana dan memuhasabah. Dalam pusat ini saya mengenal hati dan jiwa manusia lain. Melalui pusat ini hati-hati KAMI dihubungkan dengan ayat-ayat TUHAN KAMI. Panglima mengemudi, kami melayari.

TUHANku, aku bersyukur dengan perjalanan takdir ini.

UJIAN

Apakan daya, perjalanan takdir ini diuji TUHAN. Saya maklum ujian adalah dugaan kehambaan manusia kepada RABBnya.

Kemudi yang diteraju PANGLIMA teruji. Bukan kapal hilang arah, bukan angin mematah layar, tetapi PANGLIMA SENDIRI TERUJI. KAMI, hanya mampu memandang.

Sekali lagi, tanggungjawab yang diamanahkan kepada Panglima memberi liku kepada perjalanan takdir ini.

Hubungan hati kerana TUHAN ini sering membisikkan keresahan ditanggung Panglima. Hati sendiri turut resah. Amanah diberi satu hal. Tetapi tanggungjawab nan satu yang ditanggung Panglima semenjak terbang ke Mesir bertahun yang lalu adakah perlu dikesampingkan?

Itu belum lagi kalau saya berbalik kepada persoalan mengenai keinginan peribadi yang telah dirancang semenjak Eidulfitri seperti yang telah saya nyatakan di atas.

Jika saya mengumpulkan kekuatan peribadi daripada pusat dimensi ukhwah ini, maka tanggungjawab saya untuk membantu Panglima yang mengawal kemudi itu. Harus saya pulangkan kembali kekuatan ini dalam bentuk sokongan kekuatan juga kepada Panglima.

Panglima, kamu tidak berseorangan. KAMI dengan kamu. Pasti juga, TUHAN KAMi tetap teguh dengan kamu.

Saya tulis ini setelah berasa kasihan. Saya sering melihat Panglima teguh berdiri. Saya lupa Panglima juga manusia. Manusia yang terdiri daripada sel. Dan sel sentiasa bergantian, kerana sel lama luput. Sel bukannya kebal sangat. Serangan makhluk yang juga terdiri daripada sel, cumanya tidak sekompleks manusia, kadang-kadang tidak dapat dikawal. Saya lihat Panglima sedikit sebanyak mula goyah. Bebanan tanggungjawab yang diberi sedia menanti. Tanggungjawab itu perlu dilunaskan. Tetapi Panglima mula goyah.

Namun sekali lagi, tanggungjawab nan satu itu? Yang diberikan semenjak bersetuju untuk datang ke Mesir ini? Takkan nak biarkan Panglima terlucut jawatan meninggalkan kemudi melupakan KAMI?

Saya tidak mampu membantu dari sudut-sudut tertentu. Tetapi saya pasti ada bahagian yang saya masih boleh menghulurkan tangan. Jangan lupa, saya dan Panglima juga senasib.

Saya pohon, sokongan kalian membantu Panglima mengemudi. Bukan susah, tetapi sukar jika tidak terlaksana. Saya tegaskan, SITUASI ini bagaikan masuk ke mulut harimau. Ditelan mati, tetapi jika tidak melepaskan diri, cedera gigi taringnya amat menyakitkan. Kekuatan perlu dijana. Mahu tidak mahu, sokongan moral perlu diberi.

Atau, tembak sahaja harimau itu. Biar mati.

***Penulis boleh dihubungi melalui Panglima Terulung.

Kenyataan Penulis adalah bersifat unilateral. Tulisan ini bertujuan mengelakkan sesawang yang mulai tebal setelah berbulan daripada mulai menyukarkan pandangan.

Perlu diingat, sesawang yang tebal ini dek kerana harimau itu juga. Apabila ada harimau, manusia pun tidak ingin mendekat. Jadi sesawang mula mengambil tempat. Sangat prejudis jika hanya menyalahkan Panglima.

Sekali lagi, tembak sahaja harimau itu. Biar mati.


Demikianlah dedikasi tersebut yang aku copy-paste sepenuhnya dari sumber asal.

No comments:

Post a Comment



Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..

hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu

Bertemu untuk mematuhi perintah Mu

Bersatu memikul beban dakwah Mu

Hati-hati ini telah mengikat janji setia..

untuk mendaulat dan menyokong syariatMu


Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini

Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..

akan jalannya yang sebenar

Penuhkanlah piala hati ini..

dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu

Hidup suburkanlah hati-hati ini..

dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu


Jika Engkau mentakdirkan mati

Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..

sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu


Engkau lah sebaik-baik sandaran..

dan sebaik-baik penolong ya Allah

Perkenankanlah permintaan ini

Amin ya rabbal A'alamin..